Panduan lengkap tuntutan hutang dan akta hutang lapuk di Malaysia

Panduan Lengkap Tuntutan Hutang di Malaysia

Tahukah anda bahawa menurut satu kajian oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI University, 73 peratus daripada belia di Malaysia mempunyai komitmen hutang dari permulaan kerjaya atas pelbagai sebab? Sama ada anda adalah individu mahupun pemilik syarikat, pengetahuan tentang topik ini dan undang-undang berkaitan adalah amat penting. Dari sekecil-kecil hutang antara saudara mahupun rakan-rakan, kepada hutang dengan syarikat atau institusi perbankan, terdapat prosedur yang lengkap untuk tuntutan hutang tersebut melalui sistem perundangan Malaysia.

Dalam artikel ini, kami akan kongsikan serba sedikit mengenai asas undang-undang berkaitan hutang dan bagaimana serta di mana anda boleh failkan tuntutan hutang terhadap individu atau syarikat yang enggan melangsaikan bayaran tertunggak mereka.

Perbezaan Hutang Ragu Dan Hutang Lapuk

Sebelum kita terangkan mengenai hak anda sebagai pemiutang dan prosedur undang-undang, mari kita lihat perbezaan antara hutang ragu dan hutang lapuk bagi rujukan anda yang memiliki perniagaan ataupun syarikat berdaftar.

Apa itu Hutang Ragu?

Dalam isitilah perakaunan, hutang ragu adalah suatu anggaran yang dibuat bagi memperuntukkan sejumlah amaun hutang yang mungkin menjadi lapuk.

Apa itu Hutang Lapuk?

Hutang lapuk pula adalah hutang yang tidak dapat dikutip daripada “Akaun Belum Terima”. Hutang ini akan direkodkan sebagai belanja perniagaan dalam “Akaun Untung Rugi”. Hutang jenis ini boleh berlaku dalam situasi di mana penghutang tidak mampu membayar hutang, tidak dapat dikesan atau menghilangkan diri, meninggal dunia, muflis atau bankrap.

Bagi sesuatu syarikat atau perniagaan, anda mempunyai jalan untuk menuntut hutang lapuk daripada individu atau syarikat lain yang terlibat melalui peruntukan undang-undang yang telah digariskan di Malaysia.

Akta-Akta Hutang di Malaysia

Akta Penghutang 1957 (Akta 256)

Akta hutang lapuk Malaysia yang utama adalah Akta Penghutang 1957 (Akta 256) yang mengandungi pelbagai peruntukan penting, termasuk:

  • Panduan untuk prosedur pemulihan hutang melalui saman penghutang penghakiman;
  • perlindungan terhadap penghutang daripada sebarang prosedur yang tidak adil;
  • pelaksanaan keputusan mahkamah melalui langkah-langkah seperti potongan gaji dan rampasan harta terhadap penghutang.

Matlamat utama akta ini adalah memastikan terdapat panduan undang-undang yang adil dan telus bagi pemulihan hutang di Malaysia, di mana kedua-dua pemiutang dan penghutang diberikan perlindungan hak yang sama rata. Akta ini terpakai kepada individu dan syarikat, dan melibatkan semua jenis hutang, termasuk pinjaman, hutang kad kredit, dan sebagainya.

Akta Had Masa 1953

Akta Had Masa 1953 (Akta 254) pula adalah akta yang mempunyai penerangan mengenai had masa yang perlu diambil kira sebelum permulaan sebarang tuntutan hutang di Mahkamah. Seksyen 6 akta ini menetapkan, antara lain, bahawa tindakan yang berasaskan kontrak atau tort tidak boleh dibawa selepas tamat tempoh enam tahun dari tarikh timbulnya tindakan tersebut. Dalam kes tindakan pemulihan hutang, kiraan masa 6 tahun diambil daripada tarikh terakhir bayaran sepatutnya dibuat oleh penghutang penghakiman. Bagi mana-mana hutang lebih 6 tahun, tiada sebarang tindakan pemulihan hutang yang boleh dimulakan di Mahkamah, jadi adalah penting untuk mana-mana pihak yang ingin memulakan tindakan ini untuk memastikan hal ini terlebih dahulu.

Jenis-jenis tuntutan hutang lapuk

Mahkamah Tuntutan Kecil untuk hutang bawah RM5000

Untuk tuntutan hutang kecil, undang-undang Malaysia mempunyai prosedur yang lebih mudah dan kurang rumit, dan anda juga tidak perlu diwakili oleh peguam dalam tindakan ini. Tuntutan ini boleh dimulakan di Mahkamah Tuntutan Kecil yang telah ditubuhkan dengan tujuan memberikan kemudahan kepada orang awam untuk memulakan tindakan berkaitan hutang, perkhidmatan, dan lain-lain, dengan syarat jumlah tuntutan tersebut tidak melebihi RM5,000.00, sebagai contoh:

  • Bil atau invois yang tidak dibayar;
  • Kerosakan harta akibat kecuaian;
  • Pertikaian kontrak kecil seperti kontrak sewa rumah;
  • Hutang antara rakan atau saudara mara.

Prosedur untuk memulakan tuntutan kecil ini adalah di bawah Aturan 93 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Tuntutan Sivil Hutang untuk hutang melebihi RM5000

Bagi mana-mana amaun tuntutan hutang yang melebihi RM 5,000.00 pula, pemiutang boleh membawa tindakan tersebut ke mahkamah sivil bagi memulakan saman sivil hutang mengikut jumlah tuntutan yang terlibat:

  • Mahkamah Majistret: Hutang sehingga RM100,000;
  • Mahkamah Sesyen: Hutang antara RM100,001 hingga RM1 juta;
  • Mahkamah Tinggi: Hutang melebihi RM1 juta.

Pemilihan mahkamah yang betul berdasarkan jumlah hutang adalah penting untuk memastikan proses undang-undang berjalan dengan lancar dan bagi mengelakkan tuntutan anda ditolak. Jika anda sudah cuba untuk menghantar surat tuntutan hutang dan gagal berunding dengan pihak penghutang, anda boleh mendapatkan nasihat guaman daripada barisan peguam kami yang terlatih bagi mewakili anda di mahkamah.

Proses Tuntutan Hutang di Malaysia

Apabila penghutang anda gagal melangsaikan hutang dalam jangka masa yang telah ditetapkan mahupun selepas diberi peringatan bayaran, anda boleh memulakan proses tuntutan terhadap penghutang tersebut. Proses tuntutan hutang di Malaysia bermula dengan pengeluaran ‘notis tuntutan hutang’ atau ‘surat tuntutan hutang’. Notis ini berperanan sebagai notis rasmi dan formal kepada penghutang untuk melangsaikan amaun yang terhutang. Penyerahan notis ini adalah penting sebagai penetapan butiran yang terperinci, termasuk:

  • jumlah keseluruhan hutang;
  • Jumlah hutang yang masih belum dibayar;
  • Sebarang jumlah faedah terkumpul serta kadar faedah tahunan;
  • tarikh transaksi yang telah dibuat secara terperinci;
  • Sebarang denda kelewatan pembayaran;
  • tarikh akhir untuk pembayaran.

Proses ini tidak hanya menjamin hak pemiutang tetapi juga memberi peluang kepada penghutang untuk menyelesaikan hutang sebelum proses undang-undang dimulakan.

Jika selepas menerima notis ini penghutang masih tidak menyelesaikan hutang atau gagal dihubungi mahupun enggan memberi kerjasama, pihak pemiutang berhak untuk memfailkan kes tuntutan hutang di Mahkamah berdasarkan jumlah hutang tersebut.

Langkah seterusnya jika hutang tak dibayar penghutang

Infografik mengenai jenis-jenis Pelaksanaan Perintah Hutang Penghakiman di MalaysiaJadi apa yang anda boleh lakukan jika penghutang masih enggan melangsaikan hutang selepas penghakiman Mahkamah dikeluarkan? Terdapat beberapa pelaksanaan penghakiman yang anda boleh mohon untuk pelaksanaan dari Mahkamah, termasuk:

Saman Penghutang Penghakiman

Anda boleh memfailkan tindakan ini di Mahkamah untuk memastikan penghutang hadir ke mahkamah untuk memberi maklumat lengkap tentang senarai aset dan liabilitinya. Penghutang kemudiannya akan dikehendaki untuk mendedahkan senarai harta yang boleh digunakan untuk pembayaran hutang dan setakat mana kemampuannya untuk menyelesaikan amaun yang terhutang. Jika penghutang ingkar untuk hadir, mahkamah boleh mengeluarkan arahan tangkapan atau mengeluarkan perintah tanpa kehadiran pihak penghutang.

Prosiding Garnisi

Prosiding ini boleh dimulakan di Mahkamah jika anda mempunyai pengetahuan tentang sebarang akaun bank milik penghutang. Mahkamah boleh mengeluarkan perintah yang membolehkan akaun bank penghutang dibekukan dan mengarah pihak bank melepaskan amaun yang terhutang kepada pihak yang memohon.

Writ Penyitaan dan Penjualan

Tindakan ini melibatkan sebarang aset boleh alih yang terdapat dalam premis penghutang yang boleh disita dan dijual secara lelong oleh pihak Mahkamah. Dalam pelaksanaan ini, Bailif mahkamah akan hadir ke premis penghutang dan menyenaraikan aset-aset yang boleh dilelong, kemudian memaklumkan kepada penghutang. Jika penghutang masih ingkar untuk membuat sebarang bayaran hutang kepada Pemiutang, aset-aset ini akan dilelong dan amaun tersebut akan dibayar kepada pemiutang.

Writ Pemilikan

Permohonan ini adalah untuk harta tidak boleh alih seperti hartanah dan rumah kediaman. Bailif akan mengambil alih tanah atau kediaman penghutang dan melelong aset ini bagi memenuhi jumlah hutang yang telah tertera dalam penghakiman mahkamah.

Prosiding Pelupusan Syarikat

Prosedur untuk menggulungkan penghutang syarikat yang tidak mampu menyelesaikan hutang penghakiman. Penyelesai atau “liquidator” akan mengumpulkan dan menyenaraikan sebarang aset syarikat yang akan dijual bagi membayar jumlah yang terhutang oleh Penghutang Penghakiman. Syarikat yang telah dikeluarkan perintah penggulungan tidak akan dapat meneruskan sebarang urusan perniagaan lagi selepas ia selesai.

Prosiding Kebankrapan

Pihak pemiutang boleh membuat permohonan untuk pengisytiharan bankrap bagi penghutang yang mempunyai amaun hutang melebihi RM 50,000.00 dan hanya hutang dalam bentuk kewangan. Setelah penghutang tersebut dibankrapkan, aset penghutang akan diserahkan kepada Jabatan Insolvensi untuk dibahagi kepada senarai pemiutang. Terdapat pelbagai implikasi terhadap status bankrap kepada individu terutamanya terhadap pemilik perniagaan.

Perintah Komital

Perintah ini adalah bagi menghukum individu yang gagal mematuhi perintah mahkamah atau atas sebab penghinaan mahkamah. Prosiding ini boleh menyebabkan penghutang yang ingkar didenda atau dipenjara. Perintah ini biasanya dikeluarkan dalam situasi di mana penghutang enggan melaksanakan perintah mahkamah untuk menyelesaikan huatng penghakiman selepas beberapa percubaan.

Peguam untuk Tuntut Hutang di Mahkamah

Servis Pemulihan Hutang Recoverdebt:
Tiada Kemenangan, Tiada Bayaran – Tiada Risiko, Tiada Kerugian

Barisan penasihat dan pengamal undang-undang kami adalah pakar dalam mengendalikan kesemua bentuk tuntutan hutang/ tuntutan sivil yang melibatkan:-

  1. Pinjaman wang;
  2. Pembekalan barangan;
  3. Pembekalan perkhidmatan;
  4. Pelanggaran perjanjian;
  5. Pertikaian hubungan kontrak;
  6. Bayaran sewa beli;
  7. Pembangunan dan pembinaan;
  8. Tunggakan sewaan; dan
  9. Lain Lain

Kami menyediakan servis nasihat guaman bagi anda yang mempunyai sebarang persoalan mengenai pemulihan hutang di Malaysia. Pasukan kami yang terdiri daripada pakar perundangan di Malaysia sedia untuk memberikan anda panduan langkah demi langkah untuk memulihkan hutang anda dengan cara yang tepat dan efisien. Hubungi kami sekarang untuk konsultasi PERCUMA kali pertama dan hanya bayar jika anda menang, tiada risiko, tiada kerugian!

Anda juga boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai servis tuntutan hutang kami.

Soalan Lazim? FAQs

  1. Apakah maklumat atau dokumen yang saya perlu sertakan bagi memulakan proses pemulihan hutang?
    Butiran terperinci penghutang, sebarang kontrak atau perjanjian yang telah ditandatangan bersama, serta semua rekod dan dokumen yang dapat membuktikan transaksi yang berlaku sepanjang tempoh hutang; seperti pesanan penghantaran dan/atau invois atau apa sahaja bukti yang dapat menunjukkan wujudnya hutang tersebut.
  2. Apakah jenis-jenis hutang yang boleh dituntut?
    Sebarang hutang yang boleh dinilai dalam bentuk wang boleh dituntut, dengan syarat terdapat bukti yang mencukupi. Sebagai contoh, bil atau invois yang tidak dibayar, kerosakan harta benda, tunggakan sewa rumah dan sebagainya.
  3. Berapa lama waktu yang diperlukan untuk proses pemulihan hutang?
    Secara umum, dalam kes yang tiada isu atau pertikaian, proses ini mengambil masa kira-kira 3 bulan dari tarikh notis tuntutan sehingga keputusan mahkamah. Namun, jika terdapat pertikaian atau isu yang berbangkit, prosesnya mungkin memakan waktu 4-12 bulan bergantung dengan jadual mahkamah.
  4. Jika penghutang enggan hadir dan memberi kerjasama, adakah hal ini akan mengganggu proses tuntutan hutang?
    Tidak. Anda masih dibenarkan memulakan proses tuntutan hutang walaupun penghutang enggan memberi kerjasama atau enggan hadir ke mahkamah. Anda boleh mendapatkan perintah pengadilan terhadap penghutang (“penghakiman ingkar”) jika penghutang tidak memasukkan kehadiran, malahan anda berhak melaksanakan penghakiman terhadap aset penghutang berdasarkan keputusan mahkamah. Terdapat beberapa kaedah untuk melaksanakan perintah mahkamah termasuk perintah komital iaitu dengan mengeluarkan waran tangkap jika penghutang masih enggan membayar.
  5. Adakah anda mempunyai persoalan lain?
    Anda boleh hubungi kami untuk sebarang soalan berkaitan pemulihan hutang dan perundangan di Malaysia dan kami akan membantu untuk menerangkan setiap prosedur dengan lebih teliti kepada anda. Servis nasihat kami adalah PERCUMA untuk kali pertama.

Penafian: Artikel ini ditulis hanya untuk panduan secara umum dan tidak bersamaan dengan khidmat nasihat guaman terhadap mana-mana isu yang berkaitan, serta tidak boleh digunapakai dalam sebarang prosiding Mahkamah sebagai representasi fakta. Anda boleh hubungi kami untuk nasihat guaman yang lebih terperinci.